Monday 30 March 2015

Getah atas para merupakan satu permainan tradisi kanak-kanak. Permainan getah atas para ini biasanya dimainkan oleh kanak-kanak lelaki di kawasan gelanggang yang sederhana luas.

Permainan ini memerlukan kawasan lapang serdahana besar. Sepasang kayu dipasak ke dalam tanah dan gelang getah direntang antaranya bagi membentuk para. Gelang getah pertaruhan para pemain akan disusun di atas para, dan pemain akan mengambil giliran membidik dan melepaskan gelang getah (setik) getah di atas para tersebut.

Getah yang jatuh dan tidak bersentuhan menjadi pemilik yang menyetik itu. Sekiranya getah yang jatuh masih bersentuhan dengan getah di atas para, ia tidak dianggap sebagai milik pemain kerana masih ada "karan" dari para. Ia akan dibiarkan begitu sahaja bagi pemain seterusnya.

Kadang-kala pemain akan menggunakan "kor shawat itik" (beberapa gelang getah yang diikat membentuk gumpalan tebal getah). jika "kor shawat itik" digunakan, jarak lebih jauh akan digunakan. Sekiranya kor itu terlekat pada para, ia turut terkena karan dan menjadi habuan pemain berikutnya.

Setiap pemain berusaha mengambil getah taruhan bagi menambahkan koleksi masing-masing. Menjadi perkara biasa setiap pemain akan mendabik dada sekiranya berjaya mendapat jumlah getah yang banyak.

Permainan dam datang daripada satu permainan lama yang paling dipanggil Alquerque. Alquerque asalnya dimainkan pada papan permainan lain. Sekitar abad ke-12, orang Perancis merupakan orang pertama menggunakan papan catur untuk memainkan Alquerque. Ini adalah permainan dam yang pertama permainan. Kemudian, mungkin di 1535, satu peraturan baru ditambah: jika anda boleh lompat, anda mesti melompat. Ini dilakukan supaya permainan ini lebih menarik.
Dalam kebanyakan permainan permainan dam, terdapat dua pemain. Seorang pemain menggunakan kepingan gelap (hitam/merah), dan seorang lagi kepingan cerah (merah/putih). Mereka bergilir menjalankan kepingan mereka. Kepingan-kepingan tersebut hanya boleh bergerak secara pepenjuru dari satu petak ke petak yang lain. Bila seorang pemain melompat ke atas kepingan lawan, dia akan mengambil kepingan tersebut.

Sepak Bulu Ayam merupakan sejenis permainan tradisional yang dimainkan di Malaysia. Ia juga dikenali sebagai sebuyam atau chapteh.

Permainan ini boleh dimainkan secara berseorangan atau lebih. Sekiranya ia dimainkan secara berseorangan, pemain akan cuba menyepaknya seberapa banyak yang mungkin dan seberapa lama yang mungkin. Ini biasanya dikenali sebagai menimang. Menimang juga boleh dimainkan lebih daripada satu orang, dan pemain bergilir menimang bulu ayam, sementara pemain lain mengira berapa kali sepakan dibuat.
Beberapa bahan asas diperlukan bagi membuat bola bulu ayam ini. Beberapa helai bulu ayam yang terdapat pada ekor atau kepak ayam (tidak kurang dari tiga helai). Sebatang paku sederhana besar, kepingan tiub tayar yang telah dibentuk bulat berukuran antara 4sm. garispusat dan getah skrap atau getah gelang sebagai pengikat.

Beberapa keping getah tiub yang telah dibentuk bulat hendaklah dicucok paku menembusi ditengah-tengahnya. Lima helai bulu ayam sama panjang dilekatkan disekeliling paku tadi dan diikat dengan getah sekrap atau getah gelang dengan kemas. Jika untuk mendapatkan kekemasan bola tersebut sejenis gam yang kuat boleh digunakan sebelum ikatan dibuat.

Permainan layang-layang, juga dikenali dengan nama wau merupakan satu aktiviti menerbangkan layang-layang tersebut di udara. Perkataan “wau” dikatakan berasal dari perkataan kerajaan Melayu Pattani (Thai) memandangkan negeri seperti Kelantan, Terengganu, Perlis dan Kedah menggunakan perkataan tersebut.

Perkataan layang-layang pula digunakan di kebanyakan negeri-negeri seperti di pantai barat dan selatan Semenanjung Malaysia seperti Selangor, Melaka dan Johor. Ini dapat dibuktikan menerusi catatan Tun Seri Lanang yang menyatakan bahawa Raja Ahmad bermain layang-layang bersama pemuda-pemuda serta kerabat DiRaja. Selain itu kemunculan nama wau juga dikaitkan bunyi yang terhasil daripada busur yang diikat pada wau. Apabila dinaikkan ke udara, daun ibus yang dipasang pada busur tersebut akan menghasilkan bunyi "wau" secara berirama.

Permainan wau diadakan sebagai hiburan untuk pelbagai peringkat umur. Permainan wau juga diadakan untuk pertandingan. Pertandingan yang melihat bentuk kecantikannya diukur dari segi keindahannya kepada bentuk, corak ciptaan, warna, keaslian ciptaan dan ukurannya.

Permainan ini dimain secara berkumpulan.

Upih ini mesti dimain dengan dua orangatau lebih. Seorang mesti menjadi tukang tarik dan seorang lagi duduk di atas upih.Upih ni boleh dinaiki oleh seorang, dua orang, tiga orang atau berapa saja asalkan muat dan bergantung kepada saiz upih yang luruh itu. Biasanya muat setakat seorang dua sahaja. Biasanya yang lebih tua/besar akan menjadi penarik, sementara yang kecil menjadi penunggangnya. Setiap ahli diwajibkan menarik setiap ahli kumpulan dimana peserta pertama akan menarik peserta kedua dari titik permulaan sehingga ke garisan penamat dan mereka akan bertukar peranan. Peserta kedua akan menarik pesertapertama ke garisan permulaan semula dan ini dianggap sebagai satu pusingan. Maka seterusnya ahli kumpulan yang lain akan meneruskan permainan sehingga semua ahli telah melakukan aktiviti.

Sepak takraw atau sepaktakraw merupakan sejenis permainan di antara dua pasukan atau regu yang dianggotai oleh tiga orang pemain bagi setiap regu. Mempunyai jaring yang memisahkan di antara kedua-dua regu dan dimainkan di gelanggang yang berukuran sama seperti gelanggang badminton. Bola takraw pula pada asalnya diperbuat daripada rotan dan kini telah digantikan dengan penggunaan bola sintetik.

Sepak raga pula merupakan permainan menimang bola takraw dalam bulatan dengan menggunakan kaki atau kepala dan telah dimainkan semenjak Zaman Kesultanan Melayu Melaka lagi. Dalam Sulalatus Salatin ada menceritakan mengenai Raja Muhammad, putera Sultan Mansor Shah Muhammad yang tertanggal tanjaknya akibat terkena bola raga tendangan Tun Besar.

Sepaktakraw mula dipertandingkan buat pertama kalinya di peringkat antarabangsa pada tahun 1965 di Sukan SEAP yang telah diadakan di Malaysia. Sebelum Jawatankuasa Pengelola Sukan SEAP menerima sukan ini, perbincangan yang hangat telah berlaku di antara wakil-wakil Malaysia dan Singapura dengan wakil-wakil dari Negara Thai dan Burma bagi membincangkan mengenai dengan nama permainan ini. Akhirnya atas dasar bertolak ansur, Jawatankuasa Pengelola Sukan SEAP telah memutuskan bahawa permainan ini hendaklah dinamakan permainan SEPAK TAKRAW, iaitu gabungan perkataan 'sepak' dan 'takraw' menjadi satu perkataan.

Rebut Tiang ialah sejenis permainan tradisional yang dimainkan di Malaysia. Rebut Tiang adalah permainan tradisional yang dimainkan di sebelah utara terutama di Kedah. Ia biasanya dimainkan oleh kanak-kanak secara berkumpulan seramai lima orang ke atas.

Para pemain akan mencakung dalam satu bulatan dengan kedudukan menghadap ke dalam bulatan. Apabila dikira 1, 2, 3, para pemain akan berlumba-lumba menuju ke mana-mana tiang pilihan dengan cara berjalan itik. Siapa lambat dia tidak dapat tiang untuk dibuat "rumah". Maka bermulalah kemelut merebut tiang dalam permainan merebut tiang ini.

Pemain yang berumah kemudian akan membuat perundingan secara senyap untuk membuat pertukaran tiang sesama sendiri, sementara pemain yang tidak bertiang itu akan berusaha merebut tiang ketika pertukaran berlangsung.

Teng-teng atau juga dikenali sebagai Ketinting merupakan sejenis permainan tradisi kanak-kanak. Ia dimainkan oleh lelaki dan perempuan, sungguhpun ia lebih disukai oleh kanak-kanak perempuan daripada daripada kanak-kanak lelaki ini kerana permainan ini lembut dan sesuai untuk kaum Hawa.

Di kampung-kampung, gelanggang dibuat dengan dengan menuliskan garisan di atas tanah sahaja dengan menggunakan hujung ranting.

Sebelum permainan dimulakan, undian dijalankan bagi menentukan pemain yang mana harus memulakan permainan terlebih dahulu. Lai lai li tam plong adalah kaedah bagi menentukan pemain pertama, kedua, ketiga dan seterusnya.

Pemain dikehendaki melompat kedalam kesemua petak dengan sebelah kaki, kecuali di petak sembilan dengan kedua belah kaki. Tetapi bagi pemain yang baru sahaja memulakan permainan di mana gundu berada di petak pertama, maka pemain hendaklah melompat terus ke petak ketiga, tanpa memijak di petak kedua. Begitu juga dengan lompatan disetiap petak, seandainya pemain terpijak garisan ia dianggap mati dan giliran pemain lain mengambil alih permainan.

Pemain hendaklah melompat kedalam semua petak dengan menggunakan sebelah kaki, kecuali di petak dua dan kesembilan dengan dua belah kaki. Setiap pemain tidak boleh memijak petak yang mempunyai gundu yang telah dicampak.

Sebelum pemain membina rumah, acara timbang hendaklah dilakukan terlebih dahulu. Untuk mendapatkan rumah, pemain dengan berdiri membelakangkan kesemua petak di garisan permulaan dan mencampakkan ke dalam mana-mana petak gelanggang dan disitulah kedudukan rumahnya. Sekiranya gundu jatuh terkena gaisan atau terkeluar maka ia dikira mati. Setiap pemain hendaklah memijak dengan kedua belah kaki di petak rumah dan pemain lain tidak dibenarkan berbuat demikian. Sekiranya pemain lain memijaknya atau tuan rumah lupa memijak dengan kedua belah kakinya ia dikira mati.

Permainan baling selipar atau susun selipar merupakan sejenis permainan tradisional kanak-kanak Malaysia. Ia sama seperti permainan baling tin cuma ditukar kepada selipar. Tiga selipar diperlukan untuk permainan ini selipar disusun menegak dan dibaling untuk menjatuhkan.[1]

Ia sering dilihat menjadi aktiviti menghiburkan ketika berkumpul bersama rakan dan taulan. Permainan ini amat mudah kerana alatan yang diperlukan hanyalah selipar yang selalunya dipakai oleh masyarakat di Malaysia. Permainan tradisional ini juga boleh dilakukan di pelbagai majlis sukan rakyat.

Permainan ini boleh dimainkan oleh sesiapa sama ada kanak-kanak lelaki atau perempuan. Permainan ini memerlukan selipar yang tidak terlalu keras atau tebal kerana hal ini boleh menyebabkan pemain boleh tercedera terkena balingan yang dibuat pihak lawan dam sebaliknya. Selipar yang dikumpulkan haruslah dibentuk tegak menjadi tiga segi dan satu selipar lagi digunakan untuk membuat balingan.

Pemain pertama daripada kumpulan utama memulakan permainan dengan cara membaling selipar kearah selipar yang telah disusun. Setiap pemain boleh membuat lontaran sebanyak tiga kali untuk menjatuh selipar yang telah disusun. Jika lontaran yang dilakukan tidak terkena pada sasaran, giliran pihak lawan pula mengambil alih untuk melakukan lontaran seterusnya.

Jika selipar berjaya dijatuhkan, maka pemain kumpulan utama berusaha mematikan lawannya dengan membuat balingan selipar dan disasarkan pada pihak lawan. Kemenangan dikira berdasarkan jika pihak lawan dapat menyusun semula selipar-selipar tersebut menjadi tiga segi dan melangkah susunan tersebut.


Konda kondi atau juga dikenali sebagai Perik mata ialah sejenis permainan tradisional kanak-kanak di Malaysia. Dalam masyarakat India, ia dipanggil 'kaunda kaundi'. Permainan ini boleh dimainkan sekurang-kurangnya 2 orang.

Permainan ini menggunakan dua batang kayu sepanjang 0.5 meter. Sebuah lubang dikorek di atas tanah sedalam 0.2 meter dan lebar 0.2 meter juga. Kayu diletak di tengah lubang secara melintang. Sebatang kayu digunakan untuk menguit dan mengungkit kayu agar terpelanting jauh dari pemain lawan.



Permainan guli biasanya melibatkan lontaran guli dengan tepat mengenai sasarannya. Ia biasanya dimainkan oleh kanak-kanak lelaki berumur antara tujuh dan dua belas tahun. Jumlah pemain tidak melebihi lima orang.

Kawasan tanah rata dan lapang adalah gelanggang yang sesuai untuk tempat bermain guli. Biji guli yang digunakan untuk permainan ini adalah jenis guli yang diperbuat daripada batu kapur, berwarna putih dan sebesar ibu jari kaki.Untuk memulakan permainan setiap pemain hendaklah meleretkan biji guli masuk ke dalam lubang induk. Guli yang masuk ke dalam lubang induk atau yang terhampir adalah dikira sebagai pemain yang pertama memulakan permainan dan diikuti oleh guli-guli kedua hampir dan seterusnya.

Pemain boleh melepaskan gilirannya tetapi dengan syarat, ia mestilah memasukkan guli miliknya ke dalam lubang induk terlebih dahulu. Pemain akan memastikan guli miliknya sentiasa berada berhampiran dengan lubang induk setiap kali jentikan dilakukan. Ini memudahkan mereka mengawal permainan.

Setiap pertukaran giliran kepada pemain berikutnya, pemain yang mengambil alih giliran dikehendaki memasukkan guli miliknya ke dalam lubang induk terlebih dahulu sebelum boleh menjetik guli lawan. Sekiranya guli tidak masuk ke dalam lubang induk, giliran untuk pemain lain diberikan.

Kiraan mata berdasarkan banyaknya jumlah jentikan dibuat terhadap guli lawan sehingga semua pemain selesai giliran.


Gasing merupakan sejenis permainan yang boleh berputar pada paksinya, sambil mengimbang pada satu titik. Gasing merupakan permainan tradisional orang-orang Melayu sejak dahulu lagi. Biasanya dimainkan selepas musim menuai. Permainan gasing dipertandingkan antara kampung. Pemenang dikira berdasarkan tempoh masa gasing mampu berputar.

Gasing dibuat daripada kayu bebaru, kemuning, merbau, rambai, durian atau kundang. Kayu tersebut akan ditakik-takik dan dikikis sehingga menjadi bentuk gasing.

Tali gasing dibuat daripada kulit pokok bebaru. Tapi sekarang tali gasing dibuat daripada tali nilon. Panjang tali gasing biasanya bergantung kepada panjang tangan seseorang. Biasanya 1 meter panjang. Minyak kelapa digunakan untuk melicinkan pergerakan tali gasing.


Galah panjang adalah sejenis permainan tradisional yang dimainkan di atas gelanggang yang dilakar di atas tanah kosong. Gelanggang yang dibuat mengandungi 2 lajur dan beberapa baris bergantung kepada bilangan pemain. Gelanggang galah panjang dibuat mengikut bilangan pemain yang bermain galah panjang. Contohnya jika pemain ada 10 orang, gelanggang yang dibuat mengandungi 4 baris. Jika bilangan pemain sebanyak lapan orang, gelanggang galah pnjang mengandungi 3 baris. Permainan ini melibatkan kepakaran seorang ketua atau ibu untuk mengawal gerakan anak buah bagi pihak yang mengawal gelanggang. Manakala kecekapan dan kepantasan teruji kepada pihak yang menempuh gelanggang. Jika pihak menempuh gelanggang mempunyai kebijaksanaan menempuh gelanggang, maka mereka boleh menang dengan mudah.Cara permainan galah panjang tidaklah sesukar mana tapi ia dapat menguji kepintaran, kecekapan dan kepantansan setiap pemain.


Permainan congkak melibatkan pengiraan. Mereka yang cekap mencongak mempunyai kelebihan mengumpul mata dan seterusnya memenangi permainan.

Dua orang pemain diperlukan dan berkedudukan mengadap satu sama lain. Untuk memulakan permainan, biji getah atau guli akan diisikan dalam setiap kampung dengan sama banyak dan rumah dibiarkan kosong.

Dalam permainan ini, pemain akan memulakannya dengan serentak. Mereka akan mengambil buah congkak dan dimasukkan secara satu persatu buah congkak ke dalam setiap 'kampung' menuju ke rumah masing-masing menurut arah pusingan jam, sehingga salah seorang berhenti di lubang yang kosong dan dianggap mati. 'Rumah' kepunyaan sendiri terletak di lubang hujung sebelah kiri pemain. Pemain yang seorang lagi akan terus berjalan sehingga dia berhenti di lubang yang kosong. Dan selepas itu setiap pemain akan bergilir berjalan sehingga buahnya mati. Setiap pemain akan meneruskan permainan sehingga kehabisan buah congkak, dan pemain akan mengisi lubang dengan buah yang terdapat dalam lubang ibu. Pemain yang tidak cukup buah akan ditutup lubangnya, dan pemain yang menang dalam giliran sebelumnya akan memulakan permainan. Ini akan diulang sehingga salah seorang pemain tidak cukup buah bagi mengisi satu lubang sekalipun dan dianggap kalah, atau apabila kedua-dua pemain sudah bosan.

Sekiranya pemain telah membuat satu pusingan, iaitu melepasi lubang ibu dan kembali ke lubang sebelah pemain, ia boleh mengambil buah di sebelah lubang bertentangan sekiranya ia mati di sebelah sendiri. Ini dikenali sebagai "tembak".

Selambut atau juga dikenali sebagai Batu Seremban atau Serembat ialah sejenis permainan tradisional yang dimainkan di Malaysia. Selambut adalah sebutan di sebelah utara dan pantai timur Semenanjung, manakala di pantai barat semenanjung permainan ini dikenali sebagai Seremban. Ia biasanya dimainkan oleh kanak-kanak perempuan secara individu atau secara berkumpulan seramai dua hingga lima orang.

Permainan selambut cuma memerlukan beberapa biji buah. Guli kaca, biji getah, anak batu kerikil atau ketulan-ketulan objek lain berbentuk bulat biasa digunakan, lazimnya sebanyak lima biji. Selain itu, karung kain yang dijahit dan diisi dengan biji saga, pasir dan sebagainya juga digunakan.

Permainan ini sering dimainkan di waktu lapang, di serambi rumah, di dalam rumah, di taman atau di mana sahaja yang terdapat permukaan yang rata dan bersih. Para pemain duduk di atas lantai, dan bermain mengikut giliran.