Monday 30 March 2015

Sepak takraw atau sepaktakraw merupakan sejenis permainan di antara dua pasukan atau regu yang dianggotai oleh tiga orang pemain bagi setiap regu. Mempunyai jaring yang memisahkan di antara kedua-dua regu dan dimainkan di gelanggang yang berukuran sama seperti gelanggang badminton. Bola takraw pula pada asalnya diperbuat daripada rotan dan kini telah digantikan dengan penggunaan bola sintetik.

Sepak raga pula merupakan permainan menimang bola takraw dalam bulatan dengan menggunakan kaki atau kepala dan telah dimainkan semenjak Zaman Kesultanan Melayu Melaka lagi. Dalam Sulalatus Salatin ada menceritakan mengenai Raja Muhammad, putera Sultan Mansor Shah Muhammad yang tertanggal tanjaknya akibat terkena bola raga tendangan Tun Besar.

Sepaktakraw mula dipertandingkan buat pertama kalinya di peringkat antarabangsa pada tahun 1965 di Sukan SEAP yang telah diadakan di Malaysia. Sebelum Jawatankuasa Pengelola Sukan SEAP menerima sukan ini, perbincangan yang hangat telah berlaku di antara wakil-wakil Malaysia dan Singapura dengan wakil-wakil dari Negara Thai dan Burma bagi membincangkan mengenai dengan nama permainan ini. Akhirnya atas dasar bertolak ansur, Jawatankuasa Pengelola Sukan SEAP telah memutuskan bahawa permainan ini hendaklah dinamakan permainan SEPAK TAKRAW, iaitu gabungan perkataan 'sepak' dan 'takraw' menjadi satu perkataan.

No comments:

Post a Comment